PERSPEKTIF WAWASAN 2020
Latarbelakang



     Semasa   pelancaran  Majlis  Perdagangan  Malaysia  pada  28

     Februari 1991, Y.A.B. Perdana  Menteri  telah  membentangkan

     satu kertas kerja bertajuk "Malaysia - Melangkah ke Hadapan"

     yang  mengandungi  satu  pemikiran dan rangka kerja mengenai

     matlamat Malaysia menjadi  sebuah  negara  maju  pada  tahun

     2020. Ianya dikenali sebagai "Wawasan 2020".

     Wawasan  2020  bukanlah  merupakan  satu  dasar  khas tetapi

     merupakan tindakbalas kepada  perkembangan  ekonomi,  sosial

     dan   politik   yang   berlaku  di  peringkat  nasional  dan

     antarabangsa yang telah memberi cabaran hebat kepada negara.

     Wawasan ini telah diketengahkan sebagai satu  garis  panduan

     dan  rangka  kerja  mengenai  pendekatan  yang harus diambil

     dalam memulakan  langkah  bagi  perjalanan  jauh  yang  akan

     ditempuh oleh negara.

     Matlamat  terakhir  yang  dicita-citakan  ialah  pembentukan

     sebuah negara Malaysia yang benar-benar maju menjelang tahun

     2020. Kemajuan yang dimaksudkan bukan terhad  kepada  bidang

     ekonomi   sahaja  malah  ia  akan  merangkumi  segala  aspek

     kehidupan: ekonomi, politik,  sosial,  kerohanian,  kejiwaan

     dan kebudayaan.

     Menjelang tahun 2020, Malaysia sebagai sebuah negara merdeka

     akan  menjadi  negara  yang benar-benar maju, bersatu, mampu

     berdikari,  progresif  dan  makmur.  Rakyat  akan  menikmati

     kehidupan   yang   sempurna   dalam   satu  masyarakat  yang

     demokratik, bertoleransi, bermoral,  adil,  mampu  bersaing,

     dinamik dan mempunyai daya ketahanan yang tinggi.

     Ini   bermakna  Wawasan  2020  bertujuan  mewujudkan  negara

     bermatlamat iaitu Malaysia akan menjadi negara  maju  dengan

     caranya  tersendiri  tanpa  terikut  kepada  cara  dan corak

     negara maju yang ada sekarang. Kemajuan yang  dicita-citakan

     ialah  kemajuan  yang sempurna yang tidak semata-mata diukur

     dari segi pencapaian lahiriah atau fizikal semata-mata malah

     ia akan meliputi pewujudan  satu  masyarakat  yang  sempurna

     dengan nilai moral dan etika yang tinggi dan boleh dicontohi

     oleh negara-negara lain.

     Cabaran



Objektif



     Objektif  di  atas  hanya boleh dicapai jika rakyat Malaysia

     dapat menghadapi dan mengatasi  pelbagai  halangan/rintangan

     yang  dianggap  sebagai  cabaran. Di bawah ini diperturunkan

     sembilan cabaran yang telah dikenal pasti iaitu:

     (i)   Mewujudkan  negara  Malaysia   bersatu  yang mempunyai

           matlamat  yang  serupa dan dikongsi bersama. Ia  mesti

           menjadi negara  yang  aman,  berintegrasi di peringkat

           wilayah dan kaum, hidup  dalam  harmoni,  berkerjasama

           sepenuhnya,  secara adil dan didokong oleh satu bangsa

           Malaysia yang mempunyai kesetiaan politik dan dedikasi

           kepada negara;

     (ii)  Mewujudkan masyarakat yang berjiwa bebas, tenteram dan

           maju  dengan  keyakinan terhadap diri sendiri,  bangga

           dengan  apa  yang  dicapai  serta  gagah    menghadapi

           pelbagai masalah.  Masyarakat Malaysia ini mesti dapat

           dikenali melalui usaha mencapai  kecemerlangan,  sedar

           semua kemampuannya, tidak mengalah kepada sesiapa, dan

           dihormati oleh rakyat negara lain;

     (iii) Mewujud  dan  membangunkan  masyarakat demokratik yang

           matang,  mengamalkan  satu  bentuk  persefahaman  yang

           matang, demokrasi  Malaysia berasaskan masyarakat yang

           boleh menjadi contoh  kepada  banyak negara membangun;

     (iv)  Mewujudkan masyarakat  yang  sepenuhnya  bermoral  dan

           beretika,  yang mana warganegaranya kukuh dalam  nilai

           agama, dan  kejiwaan  dan   didorong  oleh tahap etika

           paling tinggi;

     (v)   Mewujudkan   masyarakat  liberal  dan  bertolak ansur,

           rakyat pelbagai kaum bebas mengamalkan adat,kebudayaan

           dan kepercayaan agama masing-masing dan pada masa yang

           sama, meletakkan kesetiaan mereka kepada  satu negara;

     (vi)  Mewujudkan   masyarakat   saintifik   dan   progresif,

           mempunyai  daya  perubahan  tinggi  dan  memandang  ke

           depan, yang bukan sahaja  menjadi pengguna   teknologi

           tetapi juga menyumbang  kepada tamadun  saintifik  dan

           teknologi masa depan;

     (vii) Mewujudkan masyarakat penyayang dan budaya menyayangi,

           iaitu  sistem  sosial yang mana kepentingan masyarakat

           lebih utama daripada diri sendiri dan kebajikan  insan

           tidak berkisar kepada  negara  atau individu tetapi di

           sekeliling sistem kekeluargaan yang kukuh;

     (viii)Memastikan  masyarakat yang adil dalam bidang ekonomi.

           Iaitu  masyarakat  yang    melaksanakan     pengagihan

           kekayaan negara secara adil dan  saksama di mana wujud

           perkongsian   sepenuhnya   bagi  setiap  rakyat  dalam

           perkembangan  ekonomi.   Masyarakat  sedemikian  tidak

           akan wujud jika masih  ada pengenalan kaum berdasarkan

           fungsi    ekonomi,   dan   kesemua  kemunduran ekonomi

           berdasarkan kaum; dan

     (ix)  Mewujudkan  masyarakat   makmur yang mempunyai ekonomi

           bersaing,  dinamik, giat dan kental.
Perspektif
     Cabaran-cabaran   di  atas  sebenarnya  telah  membangkitkan

     beberapa isu utama  yang  harus  dihadapi  bagi  membolehkan

     Malaysia mencapai taraf negara maju. Isu-isu ini ialah:-

     (i)   Pembentukan Satu Negara Bangsa Malaysia.

           Konsep  satu  negara bangsa mempunyai makna yang dalam

           kerana  ia  bermaksud  sebuah  negara  berdaulat  yang

           rakyatnya tidak dapat  diidentifikasikan melalui kaum,

           keturunan atau warna kulit.  Pembentukan  satu  negara

           bangsa   adalah  menjadi  pra-syarat  kepada  kemajuan

           kerana  tanpa   rakyatnya  mempunyai   satu  pemikiran

           terhadap  satu  negara  dan  bangsa,  sebarang  bentuk

           kerjasama untuk maju tidak akan terjalin. Bagi mengisi

           konsep   ini   istilah   seperti   perpaduan   negara,

           kesetiaan  kepada negara,  keharmonian  dan  toleransi

           perlulah difahami dan diamalkan.

     (ii)  Negara Perindustrian

           Negara yang telah berjaya mengubah corak  ekonomi  dan

           kehidupannya  daripada pertanian kepada  perindustrian

           adalah mempunyai  status  negara  maju.   Wawasan 2020

           berkehendakkan  rakyat   Malaysia   meneruskan  proses

           transformasi ini yang telah  dimulakan  sejak  merdeka

           lagi   kerana    pencapaian  sekarang   masih  lagi di

           pertengahan jalan. Ini adalah kerana proses ini  bukan

           sahaja   melibatkan  transformasi  daripada  kehidupan

           bertani kepada perindustrian malah ia juga melibatkan

           perubahan teknologi, ekonomi, sosial dan kebudayaan.

           Masyarakat negara  maju adalah masyarakat yang didokong

           oleh  kemahiran  dan kepakaran sains dan teknologi yang

           tinggi  yang   bukan   setakat   boleh   mencedok  atau

           mengubahsuai sahaja tetapi ia mestilah boleh  mencipta,

           menambah dan memperbaharui. Bagi mencapai taraf  negara

           perindustrian  pertumbuhan   ekonomi   yangamat   pesat

           amatlah  penting.   Ia  sudah  tentunya  berkait dengan

           sumbangan sektor perdagangan dan komersial yang  secara

           langsung melibatkan soal modal, pelaburan,  daya saing,

           kualiti   tenaga    kerja,  berdikari   dan  kekentalan

           menghadapi cabaran-cabaran.  Di peringkat  ini  peranan

           sektor  swasta   amatlah  besar kerana ia akan  menjadi

           jentera Pertumbuhan.

     (iii) Keadilan Ekonomi dan Sosial

           Penwujudan  satu  masyarakat  yang adil  dalam  bidang

           ekonomi   dan  sosial  memang  tidak  dapat  disangkal

           sebagai  satu  cabaran  besar yang perlu dihadapi bagi

           penwujudan  satu  negara  maju  dan bersatu. Ini ialah

           kerana dalam  sebuah negara  maju  tidak  patut  wujud

           keadaan di mana satu golongan rakyat mempunyai segala-

           galanya sedangkan satu golongan lagi tercicir.

           Pernyataan   Wawasan   ini  adalah  mempakan penegasan

           semula  keatas  isu  yang  sentiasa diberi dan meminta

           perhatian   utama   iaitu    pembasmian    kemiskinan,

           keseimbangan sosioekonomi di antara  kaum,  di  antara

           wilayah, di antara negeri dan diantara bandar dan luar

           bandar.  Dalam konteks  ini  Wawasan  2020  sebenarnya

           telah meminta semua rakyat Malaysia tidak salah tafsir

           terhadap bantuan yang  diberikan  kepada  sesuatu kaum

           golongan  sebagai  tidak  adil,  sebaliknya  hendaklah

           menganggapnya  sebagai  satu usaha bagi    memperbaiki

           ketidak-adilan.  Kesungguhan   bagi   mencapai   tahap

           keseimbangan  ini seterusnya  telah  diterjemahkan  ke

           dalam   objektif  Dasar  Pembangunan   Nasional    dan

           dilaksanakan  melalui  program  dan  projek  Rancangan

           Malaysia Keenam.

     (iv)  Moral dan Etika

           Berlainan dengan konsep negara maju yang ada  sekarang

           yang  lebih   bercirikan  kebendaan,  negara maju ala-

           Malaysia  yang  dicita-citakan seharusnyalah berpegang

           kepada falsafah moral dan etika yang tinggi berasaskan

           kepercayaan  agama.  Penganutan  falsafah  ini  adalah

           penting  kerana  kemajuan kebendaan tanpa  nilai-nilai

           moral  dan  etika tidak akan mewujudkan  kesejahteraan

           dan  keharmonian  yang  berkekalan  sebaliknya  banyak

           membawa  keburukan.   Pengamalan   nilai-nilai   murni

           (seperti  di dalam  Dasar Penerapan Nilai-Nilai Islam)

           akan  menjadi  faktor penghalang dalaman untuk   tidak

           menyalahgunakan kemahiran atau kekayaan yang dimiliki.

     (v)  Pembangunan Masyarakat Berdasarkan Sistem Kekeluargaan.

           Wawasan ini telah mengetengahkan perkara pokok sistem

           sosial iaitu pembangunan keluarga berdasarkan  hakikat

           bahawa  keluarga  menjadi  asas pembentukan masyarakat

           dan masyarakat pula menjadi asas pembinaan negara. Ini

           membawa maksud bahawa  kekuatan  dan kemajuan sesebuah

           negara itu bermula  dan  terletak  pada  keluarga  dan

           masyarakat.   Penegasan  ini  amatlah   benar   kerana

           keluarga  (rumah tangga)   dan    masyarakatlah   yang

           mencorakkan kualiti individu yang menjadi  rakyat  dan

           pemimpin    sesebuah    negara.  Budaya   bangsa  yang

           merangkumi  sistem  nilai  dan  cara  hidup  (termasuk

           masyarakat   penyayang    dan     budaya   menyayangi)

           sebagaimana  yang  dicita-citakan  dalam  Wawasan  ini

           hendaklah digerakkan dari awal lagi dan ini memerlukan

           rakyat menyedari kepentingan institusi keluarga  dalam

           memajukan negara dan mengambil langkah-langkah   perlu

           bagi mewujudkan keluarga dan masyarakat yang sempurna.



Penutup



     Sekali  imbas  Wawasan  2020  seolah-olah  merupakan wawasan

     ekonomi  semata-mata  kerana   ia   mementingkan   persoalan

     pembangunan    ekonomi   untuk   Malaysia   menjadi   negara

     perindustrian, tetapi  jika  dihalusi  ia  sebenarnya  lebih

     daripada  itu  oleh kerana ia juga menyentuh perkara-perkara

     berkaitan  dengan  aspek  sosial  dan  cara  hidup   seperti

     pembentukan   dan  keperibadian  bangsa,  moral  dan  etika,

     kebudayaan  kebangsaan,  pembangunan  sumber   manusia   dan

     lain-lain.

     Wawasan  2020 bukanlah slogan untuk dilaung-laungkan, tetapi

     ia lebih merupakan rangka kerja tindakan framework of action

     bagi setiap rakyat untuk mengambil langkah-langkah  tertentu

     bagi  memastikan  Malaysia  menjadi  negara yang benar-benar

     maju  dan  makmur.  Dalam  konteks  ini   Wawasan   tersebut

     memerlukan  beberapa  perisian  penting,  di antaranya ialah

     kualiti tenaga kerja yang dihasilkan oleh sistem pendidikan,

     perubahan  sikap  dan  nilai,  penekanan  keada  sains   dan

     teknologi, perancangan, dan peranan sektor swasta yang lebih

     dinamik.





       Sumber : Pejabat Perdana Menteri